Info STDC

Info STDC

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor atau Selangor Technical Skills Development Centre yang dikenali sebagai STDC merupakan institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah kerajaan negeri dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat.

STDC, dahulunya dikenali sebagai INPENS International College (INPENS) telah ditubuhkan pada tahun 1993. Ketika ini INPENS berorientasikan bidang akademik. Walau bagaimanapun pada tahun 2006, INPENS telah menumpukan bidang TVET sebagai teras pendidikan. Seterusnya, bagi memperkasakan INPENS sebagai institusi TVET di Selangor, kerajaan Negeri Selangor telah membuat penjenamaan semula INPENS kepada STDC pada 25 Ogos 2020 yang  telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Bin Shari.

Terletak di Kuala Selangor, kampus STDC mempunyai kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap seperti kelas berhawa dingin, bengkel amali, dewan auditorium, pusat sumber, surau, kafeteria dan lain-lain. Bagi merangsang aktiviti ko-kurikulum, STDC mempunyai kemudahan rekreasi seperti padang bola sepak, futsal,bola jaring, badminton dan lain-lain. Selain itu, STDC mempunyai barisan Tenaga Pengajar (Instruktor) yang berkelayakan disamping kemudahan pembelajaran mengikut keperluan industri dan terkini.

STDC akan menumpukan bidang TVET bagi memenuhi kehendak industri dengan menjalinkan kerjasama yang bergerak ke arah industri 4.0. STDC bukan sahaja akan menawarkan kursus-kursus kemahiran dalam pelbagai bidang yang diperakukan dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Tenaga malah menawarkan kursus-kursus jangka pendek profesional dengan kerjasama industri. Jalinan kerjasama atau “smart partnership” ini akan melahirkan pekerja mahir dan separa mahir serta usahawan yang memiliki keterampilan pembangunan peribadi, berkualiti dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri semasa dan akan datang. Seterusnya dapat membantu rakyat Selangor dalam meningkatkan taraf hidup serta pembangunan negeri selaras perkembangan terkini industri 4.0 dan ke arah Smart State.