BERITA


PROGRAM DIALOG BERSAMA MB MEMBANGUN KEPIMPINAN MPP STDC

(01/12/2021)

Program dialog bersama MB membangun kepimpinan MPP STDC

KLANG, 30 NOV: Selangor memperuntukkan sejumlah RM85,000 kepada 17 institusi pengajian tinggi awam dan swasta negeri ini bagi menganjurkan program pasca pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap institusi menerima RM5,000 sebagai tanda sokongan dan bantuan kepada mereka selaras tema Belanjawan Selangor 2022 Kita Selangor: Negeri Tahan Uji Mengangkat Martabat Insan.

“Kerajaan Negeri sebagai kerajaan prihatin sentiasa menitikberatkan pembangunan rakyat termasuk warga emas, orang kelainan upaya waima golongan mahasiswa sekali pun. Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak terbabit dalam menganjurkan pelbagai program,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dialog Dato’ Menteri Besar Bersama Pimpinan Mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Negeri Selangor dekat Hotel Wyndham Acmar di sini malam tadi.

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang diwakili Airish Azmar Abdul Rahman menerima peruntukan sebanyak RM5,000 tersebut bagi menjayakan aktiviti bersama rakan mahasiswa.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar STDC berkata, “Sekarang ini, tugas MPP yang diberi mandat tidak hanya berkaitan menjalankan program atau menjaga kebajikan pelajar IPT, tetapi kami perlu memberi kesedaran kepada rakan mahasiswa yang lain untuk sama-sama bersuara memberikan idea untuk memajukan negara. Oleh itu, ciri kepimpinan yang baik memang perlu ada dalam setiap diri mahasiswa kerana kami adalah harapan negara.

Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Pelajar STDC, Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah berkata, "Mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi, jasmani dan sahsiah. Ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berhasrat melahirkan kemenjadian insan di kalangan mahasiswa.”

Beliau turut menambah, “Oleh kerana itu, mahasiswa digalakkan menyertai pelbagai program yang dianjurkan IPT kerana pelbagai kebolehan boleh diasah seperti kebolehan memimpin, kerja berpasukan dan komunikasi yang berkesan.”

Program dialog yang berlangsung hampir satu jam itu bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pimpinan mahasiswa seluruh Selangor.

Program itu juga merupakan usaha Kerajaan Negeri bagi memberi pendedahan kepada golongan tersebut dalam aspek kepimpinan dan jaringan komuniti termasuk sumbangan mereka ke arah pembangunan negeri pintar menjelang 2025.