10 Januari 2017 – Hari ini menyaksikan kira-kira 400 orang anak muda telah mendaftar di INPENS International College (INPENS) untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang kemahiran. Rata-rata mereka hadir kerana menyedari Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education Training – TVET) semakin mendapat tempat di pasaran kerjaya pada masa kini. INPENS yang telah menjalankan kursus kemahiran sejak 2006 kini menawarkan pendidikan kemahiran di dalam pelbagai bidang iaitu automotif, motosikal, penyamanan udara, teknologi maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari, pastri, elektrik dan elektronik.
Seorang pelajar baharu turut menarik perhatian umum apabila hadir dengan keadaan kaki bersimen dan bertongkat kerana patah kaki akibat kemalangan jalan raya tahun lalu. Khairul Alif bin Khairuddin (18 tahun) yang berasal dari Banting, Selangor hadir pagi ini untuk mendaftarkan diri di dalam kursus elektrik. “Saya sudah lama hendak sambung belajar di INPENS, walaupun kaki saya belum pulih tetapi saya sudah tidak sabar untuk mempelajari ilmu baru. Saya tidak mahu ketinggalan, patah kaki bukan alasan tidak mahu belajar”, ujar Khairul Alif.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif INPENS, Tuan Ahmad Zabri bin Yaman berkata, beliau teruja dengan perkembangan dunia pendidikan TVET pada hari ini. Semakin ramai yang memilih aliran kemahiran kerana menyedari kepentingan tenaga mahir ini di dalam membangunkan ekonomi negara. Beliau yang ditemui turut berhasrat mengangkat martabat pendidikan kemahiran ke aras lebih tinggi dengan melahirkan alumni INPENS yang berkemahiran dan berkarakter unggul. Mereka yang berminat dengan bidang kemahiran, sentiasa boleh menghubungi INPENS untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian di kolej ini, saya percaya bidang kemahiran adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan keciciran akademik, ujar beliau lagi.