
Kunjungan hormat delegasi China General Nuclear Power Corporation (CGN) bertempat di STDCX Shah Alam
21 May 2026 | STDCX Shah Alam
STDCX telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi China General Nuclear Power Corporation (CGN) bertempat di STDCX Shah Alam semalam.

Kunjungan ini merupakan lawatan balas susulan lawatan rasmi Delegasi Selangor yang diketuai oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Sri Amirudin Shari ke Loji Tenaga Nuklear Daya Bay di Shenzhen, Guangdong, China sebelum ini. Lawatan tersebut turut disertai oleh Worldwide Holdings Berhad dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda tenaga bersih Negeri Selangor.
Delegasi CGN telah diketuai oleh En. YANG Bin, Timbalan Pengarah serta En. WU Peng, Pengurus Kanan Perniagaan, Nuclear Energy Business Unit, CGN. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Dr. Harizal b. Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif STDC bersama barisan pengurusan STDC.
Kunjungan ini turut disulami sesi perbincangan strategik berkaitan tindakan susulan Selangor dan STDC dalam meneroka teknologi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih (clean energy) masa hadapan. Perbincangan juga memberi fokus kepada potensi kerjasama dalam bidang latihan, penyelidikan, pembangunan kapasiti serta pemindahan teknologi.
Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada peluang pembangunan bakat anak-anak Negeri Selangor yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui dana pendidikan Selangor dengan kerjasama CGN. Pelajar yang terpilih akan dipersiapkan untuk melanjutkan pengajian di Tsinghua University, Beijing, China menerusi International Master’s Program in Nuclear Engineering and Management (TUNEM).
Turut dibincangkan ialah beberapa peluang kerjasama strategik lain yang berpotensi dilaksanakan bersama pada masa akan datang demi memperkukuh pembangunan modal insan dan teknologi berimpak tinggi untuk Negeri Selangor.

