STDC

Media

Berita

SELANGOR KOMITED PERKASAKAN TVET MELALUI INPENS
Tarikh : 31 Januari 2017

31 Januari 2017 – Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam usaha memperkasakan Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui institusi kemahiran di bawah naungannya iaitu INPENS International College. Malahan bidang-bidang berimpak tinggi dan mendapat pasaran industri seperti bidang kimpalan akan mula diperkenalkan di kolej tersebut selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun 2018. 

        Y.B. Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad berkata demikian ketika lawatan kerja beliau ke kolej tersebut hari ini. Dalam lawatan tersebut, Y.B. Tuan Nik Nazmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Selangor turut melawat bengkel kursus kulinari dan pastri yang merupakan kursus terbaharu yang ditawarkan di INPENS. INPENS secara keseluruhannya menawarkan pengajian kemahiran di dalam sepuluh bidang berimpak tinggi iaitu automotif, motosikal, penyamanan udara, teknologi maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari & pastri, elektrik dan elektronik.

       Beliau turut berkata, Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2017 telah memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta bagi membangunkan prasarana yang terdapat di INPENS. Tambahan sebanyak RM1 juta pula disalurkan setiap tahun bagi menaik taraf kursus-kursus kemahiran sedia ada di INPENS serta memperkenalkan kursus kemahiran baharu yang berpotensi untuk dikembangkan. Peruntukan-peruntukan ini disalurkan bagi memastikan INPENS terus berdaya saing dalam memberikan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar yang menuntut di kolej tersebut. Ini jelas membuktikan Kerajaan Negeri Selangor sememangnya komited dalam usaha menjadikan bidang TVET sebagai bidang pilihan ramai memandangkan pasaran kerja yang amat meluas. Negeri Selangor juga berhasrat menjadi negeri model kepada negeri-negeri yang lain dalam membangunkan serta memperkasakan TVET, ujar beliau lagi.

       Selain itu, sebanyak RM4 juta lagi telah disalurkan setiap tahun bagi membiayai yuran pengajian pelajar-pelajar di INPENS yang mempunyai pendapatan keluarga di bawah RM3,000 sebulan yang menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta bagi tahun 2017 bagi memperkasakan TVET di Negeri Selangor melalui INPENS. INPENS kini mempunyai sebuah kampus yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan terletak di lokasi strategik di Kuala Selangor. Setiap tahun, INPENS mampu melahirkan seramai 900 tenaga mahir yang kompeten di dalam bidang kemahiran masing-masing bagi menampung permintaan industri yang kian meningkat saban tahun.

Share