Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) berbangga meraikan tiga anak muda Selangor yang terpilih sebagai kumpulan perintis Biasiswa Pembangunan Kemahiran Nuklear Negeri Selangor 2026.
Tahniah diucapkan kepada Muhammad Amani bin Mazlan, Aiman Shakirah binti Ahmad Jaffar dan Hafidz Syahmi bin Faznee Aniff yang bakal melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kejuruteraan Nuklear di Harbin Engineering University (HEU), China, mulai September 2026 hingga Julai 2029. Setiap penerima akan menerima tajaan berjumlah RM15,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Selain mengikuti pengajian akademik, para penerima biasiswa turut berpeluang menjalani latihan industri bersama China General Nuclear Power Group (CGN), sekali gus memberikan pendedahan secara langsung kepada teknologi, operasi dan amalan industri tenaga nuklear pada peringkat antarabangsa.
Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan tiket penerbangan, baucar buku, Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT), komputer riba dan elaun perpindahan. Kerajaan China pula akan menanggung yuran pengajian, insurans perubatan serta kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Program yang dikendalikan oleh STDC di bawah inisiatif IKTISASS ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan China, bersama Tsinghua University, Harbin Engineering University dan China General Nuclear Power Group.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030, program ini dirancang untuk diperluas kepada 22 lagi pelajar pada tahun 2027 dan 2028. Pelaksanaan tersebut akan menjadikan keseluruhan sasaran seramai 25 bakat anak Selangor yang dibangunkan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tenaga nuklear.
STDC mendoakan agar ketiga-tiga penerima biasiswa ini memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya, menimba ilmu dan pengalaman seluas mungkin serta kembali membawa kepakaran untuk berbakti kepada negeri Selangor dan negara.
Semoga kumpulan perintis ini menjadi pencetus kepada pembentukan generasi pakar tempatan yang akan membantu Selangor meneroka masa hadapan sektor tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Tahniah dan selamat maju jaya!
#STDC#STDCX#KitaSelangor#SelangorMajuBersama#IKTISASS#BiasiswaSelangor#KejuruteraanNuklear#PembangunanBakat#TVETSelangor








